Saturday, May 31, 2008

Jangan terlepas peluang di SCORE

Bersedia dan jangan sampai terlepas peluang. Itulah gesaan Ahli Parlimen Mukah, Dato Sri Muhammad Leo Toyad kepada lebih 600 ribu rakyat yang terlibat langsung dengan program pembangunan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Beliau berkata, SCORE bakal membawa ledakan pembangunan secara besar-besaran yang mungkin tidak pernah terfikir oleh rakyat sebelum ini dan mereka akan ketinggalan jika tidak bersedia dari sekarang.

Selain itu katanya, SCORE juga memberi manfaat yang amat besar kepada semua peringkat masyarakat terutama kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang pertanian, perindustrian dan keusahawan.

Semua pihak mesti bersiap sedia bukan sahaja dari segi ilmu tentang SCORE tetapi juga, memberi penekanan serius terhadap pendidikan generasi muda. Mereka adalah generasi terpenting yang bakal menerajui program ini. Kita tidak mahu peluang itu akan terlepas ke tangan orang lain, katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran SCORE ketiga, di sini, semalam.

Score merupakan koridor pembangunan kelima dilancarkan Perdana Menteri selepas Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan Koridor Pembangunan Sabah.

Ia terletak di wilayah tengah Sarawak merentasi kawasan sepanjang 320 kilometer dan meliputi kawasan seluas 70,000 kilometer persegi dengan kepadatan penduduk 607,800 orang.
SCORE yang bermula dari Tanjung Manis, Mukah dan Similajau, Bintulu mampu meningkatkan ekonomi Sarawak ke tahap yang lebih tinggi agar standing dengan negeri maju lain seperti Selangor dan Johor.

Menerusi SCORE, Sarawak boleh mencapai Wawasan 2020 setanding dengan negeri-negeri yang maju lain di negara ini selain, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak Sarawak sendiri, katanya.

Bagaimanapun, katanya, peluang-peluang pekerjaan yang disediakan hasil pelancaran SCORE tidak dapat dimanfaat sepenuhnya oleh anak-anak Sarawak sendiri jika mereka tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang baik.

Oleh itu, ibu bapa harus mula memberi penekanan kepada pendidikan anak-anak dan sebagai pelajar mereka mesti mengambil kesempatan daripada SCORE untuk belajar bersungguh-sungguh supaya menjadi tenaga mahir yang akan seterusnya menyumbang kepada pembangunan Sarawak dan Malaysia amnya.

Jika tidak, peluang pekerjaan profesional, mahir dan separuh mahir akan dijawat oleh pekerja asing, ini satu kerugian besar kepada negara, sedangkan kita berkemampuan melahirkan modal insan yang berkualiti.

Score menjadi lembaran baru kepada pengusaha pelancongan di Mukah dan Bintulu kerana dengan pelancarannya pasti ramai pelabur asing akan datang ke situ bersama-sama ahli keluarga.

Oleh itu pengusaha pelancongan harus bersedia menerima kedatangan pelancong dari luar dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan pelancongan, ujarnya.

Orang ramai mesti bersiap sedia untuk mengambil peluang serta faedah hasil daripada pelaksanaan program berkenaan. Kita bersyukur, pameran hari pertama mendapat sambutan amat menggalakkan, katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...