Friday, July 25, 2008

Kisah dan Teladan - Budak Penjual Kuih

Beautiful story

Hari itu selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala
Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama.
Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk,
saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik
memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12
tahun muncul dihadapan.


"Abg nak beli kuih?"Katanya sambil tersenyum. Tangannya segera
menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.
"Tak apalah dik...abg dah pesan makanan," jawab saya ringkas. Dia
berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20
minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan
lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu
begitu saja.
"Abg dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa
menghampiri meja saya.
"Abg baru lepas makan dik, masih kenyang lagi ni,"kata saya sambil
menepuk-nepuk perut. Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima.
Sampai di situ, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang
lalu ditanya...
"Tak nak beli kuih saya bang..pak cik...kakak atau makcik". Molek budi
bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke
premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan
kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak
nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang
yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.
Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke
kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai
yang sama. Saya buka pintu , membetulkan duduk dan menutup pintu.
Belum sempat saya menghidupkan enjin,kanak-kanak tadi berdiri di tepi
kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin,
membalas senyumanya. Saya lihat umurnya lebih kurang 12 tahun.
"Abg dah kenyang, tapi mungkin abg perlukan kuih saya untuk adik-adik
abang, ibu atau ayah abang,"katanya petah sekali sambil tersenyum.
Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun
pisang penutupnya. Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja.
Terpantul persaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan
menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.
"Ambil ni dik! Abang sedekah... tak payah abang beli kuih tu" saya
berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak
itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus
berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat
membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur.
Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula
RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua
matanya. Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil
kanak-kanak itu.
"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.
"Kenapa adik berikan duit abg tadi pada pengemis tu?Duit tu abg bagi
adik!" kata saya tanpa menjawab pertanyaannya.
"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu
saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah
berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit
sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah.
Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat
bang!" katanya begitu lancar.Saya sebak, sekaligus kagum dengan
pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya
berapa semua harga kuih dalam bakul itu.
"Abg nak beli semua ke?" dia bertanya dan saya cuma mengangguk. Lidah
saya kelu nak berkata."RM25 saja bang.....!Selepas dia memasukkan satu
persatu kuihnya ke dalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan
terima kasih dan terus berlalu.

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan.Dalam
perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya
statusnya. Anak yatim kah??Siapakah wanita berhati mulia yang
melahirknya?? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi
atas dasar kesian, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat
menjadikan kerjayanya satu penghormatan. Sesungguhnya saya kagum
dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkn saya, siapa kita
sebenarnya!!! ---

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...