Thursday, August 16, 2018

AKU BUDAK SAFETY Part 15: PEKERJA EGO BOLEH UNDANG PADAH


Pernah dengar tak pekerja korang sebut kenyataan ni terutama sekali pekerja yang dah lama kerja di tapak pembinaan. Pekerja pekerja lain panggil mereka OTAI ataupun Brader sebagai panggilan menghormati pengalaman luas mereka.  Acapkali kita dengar kes kes kemalangan melibatkan golongan ini. Mesti kita kehairanan kenapa?...
Dulu aku pernah ada kes pekerja mati ketika sedang bekerja menyusun bata apabila dinding bata yang sedang dia bina roboh lalu menghempapnya. Beberapa hari sebelum itu, satu Safety Toolbox berkenaan kerja kerja bata di Tempat Tinggi dijalankan dan pekerja itu yang merupakan antara pekerja senior turut hadir dalam taklimat tersebut. Antara yang dibincangkan adalah berkenaan dengan Penyata TataKerja Selamat. Kalau kita di site biasa dengar Safe Work Method Statement.. Dokumen ini menerangkan dengan terperinci urutan urutan kerja yang perlu dilakukan dengan selamat dan berkesan. 
Dipendekkan cerita, pekerja senior ni namanya Ali (bukan nama sebenar) tidak setuju dengan urutan kerja yang dicadangkan kerana mengambil masa lama dan dia mahu kaedah yang dicadangkan ditukar. Disebabkan Pengurus Projek, Penguasa Kerja turut berada di dalam sesi taklimat tersebut tidak bersetuju dengan pindaan, pekerja tersebut cuba mempertahankan permintaan dengan mengambil kira pengalamannya selama 20 tahun melakukan kerja tersebut tanpa ada apa apa masalah.

Aku masa bukan SHO lagi tapi sebagai Penguasa Kerja (Work Superintendent) menasihati Ali supaya patuh kepada Kaedah yang dicadangkan dan setelah beberapa lama berbincang akhirnya, Ali bersetuju. Pada masa itu, Ali sahaja yang diberikan tugasan memimpin sekumpulan pekerja yang lain untuk melakukan tugasan tersebut. Jadi kita faham, dia ni dihormati oleh orang dibawahnya sudah tentu ada ego yang perlu dipertahankan..

Berdasarkan kenyatan saksi dalam Laporan Siasatan Dalaman, pada hari kejadian, cuaca agak mendung lepas hujan semalaman. Jadi keadaan di tempat kejadian agak basah. Kerja kerja menyusun bata dimulakan dibahagian tengah bangunan di tingkat 4 , jadi penyusunan bata di tepi bangunan tidak dilakukan berikutan angin yang kuat dirasai ditingkat tersebut. Ada beberapa bilik di tingkat 4 di bangunan terbabit perlu dirobohkan dan Ali mengambil tugasan itu manakala kerja kerja menyusun bata diberikan kepada pekerja bawahannya. 

Tiba tiba kedengaran bunyi seperti benda jatuh berdentum. Dan kedengaran suara orang meminta tolong. Sebaik sahaja sampai ditempat kejadian, pekerja melihat Ali sudah tidak berdaya di bawah timbunan dinding bata yang dirobohnya. Pekerja yang ada  disitu cepat cepat membantu mengalihkan timbunan dinding bata. Masa tu aku berada di blok yang agak jauh dari tempat kejadian. Bia diberitahu tentang perkara tersebut, aku pun kiranya panik jugak lah. Tak pernah lagi pekerja kemalangan maut dibawah seliaan aku.

Ali akhirnya disahkan meninggal dunia dihospital akibat pendarahan dalam otak akibat hentakan daripada dinding bata yang roboh. Satu pasukan siasatan dalaman ditubuhkan. Aku dikecualikan kerana menjadi sebahagian daripada pihak yang di soal siasat.  Hasil daripada Siasatan Dalaman amat mengejutkan. Pekerja yang melakukan kerja kerja meroboih bersama Ali mengatakan perancangan Ali untuk melakukan kerja merobih bermula dari bawah dinding dan apabila kesemua bahagian bawah telah roboh Ali akan menggunakan tali untuk menarik dinding tersebut supaya runtuh keseluruhannya. Ali nak buat kerja cepat...


Tindakan Ali itu bercanggah dengan kaedah yang telah dipersetujui bersama. Dan akhirnya nyawa Ali diambil oleh tindakannya sendiri... Setelah kejadian itu, aku letak jawatan dan abadikan usaha dan pengalaman aku untuk menjadi seorang Budak Safety dan aku menjadikan peristiwa tersebut satu ikhtibar yang tidak mungkin aku lupakan.


No comments:

Post a Comment

Any comments posted here will be at your own responsibilities. The author shall not held responsible for any comment that pose risk to legal implication.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...